Info Semasa
Pakej PRIHATIN | Elaun Khas RM200 Sebulan Untuk Anggota Pasukan Keselamtan Negara
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berterima kasih kepada kerajaan atas peruntukan tambahan yang diberikan kepada barisan hadapan seperti diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya sangat menghargai peruntukan itu, terutama ketika sukar dan kegawatan ekonomi.
“Kami memahami kekangan kewangan oleh kerajaan pada masa ini disebabkan kegawatan ekonomi namun mampu memberikan bantuan sebaik mungkin dalam usaha meringankan beban pasukan keselamatan dan rakyat.
“Kami bersyukur apabila ia (peruntukan kewangan) datang pada masa yang sukar ini,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Beliau berkata, pada masa sama, setiap pegawai dan anggotanya sentiasa komited dalam menjalankan tugas, terutama dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami akan melaksanakan tugas sebaik mungkin tanpa mengira waktu dan dalam apa juga keadaan.
“Slogan kami ‘Sedia Berkhidmat’, mendorong kita untuk berusaha sebaik mungkin dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara serta kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej PRIHATIN termasuk elaun khas RM200 sebulan untuk anggota pasukan keselamatan negara.
Sumber - BeritaHarian
Post a Comment
0 Comments