Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan Gembirakan Pengguna


KUALA LUMPUR: Menerima penjimatan puluhan ringgit dalam bil elektrik bulanan begitu melegakan apatah lagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dikecapi banyak pihak tanpa mengehadkan kepada sesetengah golongan.

Diskaun Rangsangan Ekonomi itu secara tidak langsung memberikan manfaat berjuta pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan pengurangan bil antara dua hingga 50 peratus bagi penggunaan elektrik dari 1 April hingga 31 Disember tahun ini.

Rata-rata pengguna menyifatkan pemberian diskaun mengikut penggunaan itu bukan saja melegakan tetapi membantu meringankan bil utiliti bulanan yang begitu terkesan akibat pandemik COVID-19.

Bagi peguam, Mohammad Shafiee Afendi, 37, berkata purata bil TNB bulanannya adalah sekitar RM100 hingga RM150 namun penggunaannya agak meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Meskipun beliau menjangkakan kenaikan bil berikutan masanya lebih banyak diluangkan di rumah di samping ada ketikanya melakukan kerja dari rumah yang sememangnya meningkatkan kadar penggunaan elektrik berbanding tempoh sebelum PKP.


"Saya menikmati penjimatan hingga RM30 pada bil terkini dan juga bulan terdahulu iaitu menikmati inisiatif yang dijana kerajaan secara langsung dalam tempoh agak lama iaitu April hingga Disember depan.

"Dengan penjimatan bil, ia sekurang-kurangnya boleh dimanfaatkan untuk bayaran bil utiliti lain seperti bil air dan pembetungan. Tambah menarik, diskaun setiap pengguna pula berbeza mengikut kadar penggunaan masing-masing," katanya ketika ditemui BH di Residensi Hijauan Lumayan di sini.



Sebelum ini, kerajaan bersama TNB mengumumkan pemberian Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) sebagai pakej bantuan tambahan kepada kira-kira 7.66 juta pelanggan domestik melalui pembiayaan penggunaan elektrik percuma hingga RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP iaitu April, Mei dan Jun 2020.

Seterusnya Diskaun Rangsangan Ekonomi itu dilanjutkan hingga ke hujung tahun menggunakan formula yang sama iaitu rebat antara dua hingga 50 peratus mengikut kegunaan dalam bil berkenaan.

Mohammad Shafiee berkata, kerajaan juga bersikap rasional kerana pemberian diskaun itu secara menyeluruh tanpa mengkhususkan sesetengah kelompok atau pendapatan isi rumah.

"Ia sekali gus tidak mengetepikan kumpulan B40 dan memahami golongan itu untuk turut perlu dibantu, lebih-lebih lagi ketika semua orang menerima kesan COVID-19 ini.

"Ditambah pula dengan Kuala Lumpur dan Selangor kini dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), akan membuatkan ramai perlu kekal berada dalam rumah bagi mengekang penularan wabak," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Nurul Aimi Mohd Zainul Abidin, 34, berkata bil elektriknya tidak menunjukkan kenaikan ketara memandangkan hampir sepanjang hari beliau berada di rumah.

"Daripada segi penggunaan peralatan elektrik ia masih sama dan bil di rumah masih lingkungan RM100 sebulan.

"Mungkin kebanyakan peralatan itu daripada jenis jimat tenaga, selain saya dan suami juga mengehadkan penggunaan gajet untuk anak-anak supaya pelajaran mereka tidak terganggu," katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini, berharap pemberian diskaun itu mampu dilanjutkan lagi jika keadaan pandemik ini berpanjangan bagi meringankan beban pengguna.

"Sebagai pengguna pula kita perlu mendisiplinkan diri dan membazir penggunaan elektrik kerana tindakan itu akan memberikan kesan kepada bil yang akan diterima kelak," katanya.


Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments

Join Telegram Rasmi Kami