Kerajaan Sarawak umum BKSS 9.0 bernilai RM1 bilion

Kerajaan Sarawak umum BKSS 9.0 bernilai RM1 bilion


Kerajaan Sarawak umum BKSS 9.0 bernilai RM1 bilion

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 yang merangkumi lima langkah bagi tempoh enam enam bulan mulai Julai hingga Disember 2022.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan pakej khas itu hari ini berkata, kerajaan Sarawak akan membelanjakan RM1 bilion untuk BKSS 9.0, termasuk RM700 juta khusus untuk golongan kontraktor.

Katanya, BKSS 9.0 adalah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat akibat inflasi.

“Sekarang adalah masa yang sangat mencabar bagi kita disebabkan beban kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Saya mendengar keluhan rakyat berkenaan harga barang yang semakin meningkat seperti harga ayam dan telur, kenaikan harga minyak masak dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, setakat Jun 2022, inflasi Malaysia meningkat 3.4 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya, manakala kadar inflasi Sarawak meningkat 3.2 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Sehubungan itu, sebagai kerajaan yang mendengar dan prihatin terhadap keluhan rakyat, Kerajaan Negeri Sarawak mengambil keputusan untuk menyambung pemberian bantuan bagi meringankan beban rakyat Sarawak yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutama yang berpendapatan rendah,” katanya.

Lima langkah yang beliau umumkan dalam BSKK 9.0 berkenaan adalah meneruskan pemberian diskaun bil elektrik antara lima hingga 25 peratus atas bil bulanan kepada pengguna domestik, komersial dan industri mulai Julai hingga Disember 2022, dan diskaun 10 hingga 25 peratus ke atas bil air bulanan untuk pengguna domestik, komersial dan industri diteruskan mulai Julai hingga Disember 2022.

Langkah ketiga ialah diskaun 25 peratus untuk taksiran kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 dan diskaun 30 peratus untuk kadar cukai pintu tahunan RM400 dan ke bawah untuk premis kediaman, komersial, industri dan premis pegangan khas mulai Julai hingga Disember 2022 dan keempat ialah diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk peniaga dan penjaja diteruskan bagi bulan Julai hingga Disember 2022.

Langkah yang kelima ialah berkaitan bahan binaan tambahan di bawah peruntukan khas untuk variasi harga (VOP) 2.0.

“Kenaikan harga bahan binaan telah memberi kesan buruk kepada pemain dalam industri binaan.

“Sebagai usaha ke arah mengurangkan hakisan margin yang dihadapi oleh kontraktor dan memastikan penyampaian projek kerajaan pada masa sukar ini, jerajaan Sarawak telah memulakan Variasi Harga (VOP) 2.0 untuk menampung kenaikan harga bahan binaan.

Projek yang dibiayai VOP 2.0 akan meliputi bidang kontrak berterusan dengan Surat Setuju Terima (LOA) yang dikeluarkan antara 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021.

Katanya, kerajaan Sarawak dianggarkan menanggung kos kira-kira RM700 juta untuk membenarkan perubahan harga.

Tambahnya, dalam keadaan yang sukar sekarang ini, jerajaan Sarawak sentiasa memikir dan melaksanakan langkah-langkah terbaik untuk membantu rakyat agar memberi manfaat kepada semua golongan.

“Kita sekarang dalam fasa pemulihan ekonomi. Justeru itu, saya berharap agar langkah-langkah dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 9.0 yang berjumlah hampir RM1.0 billion ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat Sarawak,” tambah beliau.

Sumber: utusan.com.my

Post a Comment

0 Comments