Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan Gembirakan Pengguna

Spread the love

KUALA LUMPUR: Menerima penjimatan puluhan ringgit dalam bil elektrik bulanan
begitu melegakan apatah lagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat
(PRIHATIN) dikecapi banyak pihak tanpa mengehadkan kepada sesetengah
golongan.

Diskaun Rangsangan Ekonomi itu secara tidak langsung
memberikan manfaat berjuta pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan
pengurangan bil antara dua hingga 50 peratus bagi penggunaan elektrik dari 1
April hingga 31 Disember tahun ini.



Rata-rata pengguna menyifatkan pemberian diskaun mengikut penggunaan itu
bukan saja melegakan tetapi membantu meringankan bil utiliti bulanan yang
begitu terkesan akibat pandemik COVID-19.

Bagi peguam, Mohammad
Shafiee Afendi, 37, berkata purata bil TNB bulanannya adalah sekitar RM100
hingga RM150 namun penggunaannya agak meningkat sejak Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Meskipun beliau menjangkakan
kenaikan bil berikutan masanya lebih banyak diluangkan di rumah di samping
ada ketikanya melakukan kerja dari rumah yang sememangnya meningkatkan kadar
penggunaan elektrik berbanding tempoh sebelum PKP.


kita prihatin kitaprihatin 1604988356


“Saya menikmati penjimatan hingga RM30 pada bil terkini dan juga bulan
terdahulu iaitu menikmati inisiatif yang dijana kerajaan secara langsung
dalam tempoh agak lama iaitu April hingga Disember depan.

“Dengan
penjimatan bil, ia sekurang-kurangnya boleh dimanfaatkan untuk bayaran bil
utiliti lain seperti bil air dan pembetungan. Tambah menarik, diskaun setiap
pengguna pula berbeza mengikut kadar penggunaan masing-masing,” katanya
ketika ditemui BH di Residensi Hijauan Lumayan di sini.

Sebelum
ini, kerajaan bersama TNB mengumumkan pemberian Bantuan Prihatin Elektrik
(BPE) sebagai pakej bantuan tambahan kepada kira-kira 7.66 juta pelanggan
domestik melalui pembiayaan penggunaan elektrik percuma hingga RM231 untuk
tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP iaitu April, Mei dan Jun 2020.

Seterusnya
Diskaun Rangsangan Ekonomi itu dilanjutkan hingga ke hujung tahun
menggunakan formula yang sama iaitu rebat antara dua hingga 50 peratus
mengikut kegunaan dalam bil berkenaan.

Mohammad Shafiee berkata,
kerajaan juga bersikap rasional kerana pemberian diskaun itu secara
menyeluruh tanpa mengkhususkan sesetengah kelompok atau pendapatan isi
rumah.

“Ia sekali gus tidak mengetepikan kumpulan B40 dan
memahami golongan itu untuk turut perlu dibantu, lebih-lebih lagi ketika
semua orang menerima kesan COVID-19 ini.

“Ditambah pula dengan
Kuala Lumpur dan Selangor kini dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat (PKPB), akan membuatkan ramai perlu kekal berada dalam rumah bagi
mengekang penularan wabak,” katanya.

Sementara itu, suri rumah,
Nurul Aimi Mohd Zainul Abidin, 34, berkata bil elektriknya tidak menunjukkan
kenaikan ketara memandangkan hampir sepanjang hari beliau berada di
rumah.

“Daripada segi penggunaan peralatan elektrik ia masih sama
dan bil di rumah masih lingkungan RM100 sebulan.

“Mungkin
kebanyakan peralatan itu daripada jenis jimat tenaga, selain saya dan suami
juga mengehadkan penggunaan gajet untuk anak-anak supaya pelajaran mereka
tidak terganggu,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini,
berharap pemberian diskaun itu mampu dilanjutkan lagi jika keadaan pandemik
ini berpanjangan bagi meringankan beban pengguna.

“Sebagai
pengguna pula kita perlu mendisiplinkan diri dan membazir penggunaan
elektrik kerana tindakan itu akan memberikan kesan kepada bil yang akan
diterima kelak,” katanya.

104660321 10158545587765600 5986669494999117526 o 1604988360


Sumber: Berita Harian