1GB Internet Percuma Setiap Hari Untuk Pelanggan Celcom, Digi, Maxis dan UMobile Sepanjang PKP



INDUSTRI telekomunikasi menawarkan pakej khas kepada semua pengguna
termasuk usaha menambah baik rangkaian telekomunikasi yang secara
kolektif bernilai RM1 bilion.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerusi satu kenyataan
berkata, antara pakej khas yang akan ditawarkan adalah Internet percuma
dengan nilai RM600 juta bermula 1 April ini sehingga tempoh Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Internet Percuma Setiap Hari
 
Ia dibuat berikutan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang tadi.


Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah semua pelanggan
pascabayar dan prabayar Celcom, Digi, Maxis dan UMobile akan menerima
Internet berkelajuan tinggi percuma dengan kapasiti 1GB percuma.


Ia boleh digunakan antara jam 8 pagi hingga 6 petang bermula 1 April dan dikuatkuasakan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.


Inisiatif itu juga membabitkan panggilan percuma ke talian Pusat
Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Pusat
Pengurusan Operasi Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri.


SKMM dalam kenyataan itu menyatakan syarikat telekomunikasi turut
memberi komitmen untuk melabur RM400 juta sehingga suku kedua tahun ini
untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan
ketersediaan dan kualiti rangkaian.


“Pelaburan ini akan meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian
untuk tapak kritikal seperti hospital, agensi kerajaan, agensi
penguatkuasaan dan pusat media.


“Dalam masa sama, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubung Negara
(NFCP) akan terus dilaksanakan untuk menambah baik kesalinghubungan
digital negara terutamanya di kawasan luar bandar.


“Sebanyak RM3 bilion sudah diperuntukkan kerajaan menerusi SKMM
seperti diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 1 yang diumumkan 27
Februari lalu,” katanya dalam kenyataan berkenaan.


Pada masa sama, agensi itu menyatakan bahawa perkhidmatan pos dan
kurier komited untuk membantu usahawan menjalankan perniagaan e-dagang
selain daripada meneruskan perkhidmatan seperti biasa untuk rakyat
Malaysia.


SKMM yakin inisiatif diumumkan dapat meringankan beban rakyat yang
terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 di samping membolehkan
kesalinghubungan berterusan supaya rakyat dapat melaksanakan tugasan
harian lebih efisien.


Bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pakej yang ditawarkan
sepanjang tempoh PKP, pengguna digalakkan merujuk atau menghubungi
syarikat penyedia perkhidmatan masing-masing.

Sumber – MyMetro

1 thought on “1GB Internet Percuma Setiap Hari Untuk Pelanggan Celcom, Digi, Maxis dan UMobile Sepanjang PKP”

  1. Seperti yang dinyatakan oleh SKMM, pakej ini ditawarkan kepada pengguna maxis, celcom, digi & u mobile. Untuk rangkaian redone, Tuan/Puan boleh merujuk atau menghubungi syarikat penyedia perkhidmatan masing-masing.

Comments are closed.