Bantuan Prihatin Nasional | Bantuan “one-off” Diperluas Kepada Pelajar Tingkatan 6, Diploma & Setara

KUALA LUMPUR: Bantuan wang tunai ‘one-off’ RM200 untuk pelajar
institut pengajian tinggi (IPT) akan diperluaskan kepada pelajar
tingkatan enam, diploma dan yang setara, termasuk di institusi di bawah
Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta MARA.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata pembayaran itu akan dilakukan hujung bulan ini.

Beliau
berkata, sebelum ini kerajaan mengumumkan pemberian bantuan itu kepada
setiap pelajar sepenuh masa IPT meliputi pelajar matrikulasi, Kolej
Komuniti, Politeknik serta Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta
(IPTA/IPTS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

“Bagaimanapun
Kementerian Kewangan dengan sukacitanya memaklumkan bahawa bantuan itu
diperluaskan dengan peruntukan dinaikkan daripada RM270 juta kepada
RM300 juta untuk memanfaatkan lebih kurang 1.5 juta pelajar.

“Kementerian
yang terbabit akan mempercepatkan jadual bayaran kepada pelajar IPT
yang layak dari Mei kepada hujung April,” katanya dalam kenyataan hari
ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berharap bantuan ini
dapat meringankan beban dihadapi pelajar IPT dalam tempoh Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semoga mereka terus sabar dan gigih dalam perjalanan menuntut ilmu dan menimba kemahiran,” katanya.

Sebelum
ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan bantuan
RM200 kepada pelajar IPT sebagai usaha meringankan beban yang dihadapi
akibat penularan pandemik COVID-19.

Sumber – Berita Harian